ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Bingkisan Detik-detik Diri Di Daerah Daif [Istimewa Buat Profesor Shahnon Ahmad]


Prof,
tak perlu kukhatamkan tulisanmu
kerana aku membenarkan kata-katamu itu
dari petikan akhir rangkap buku
"Detik-Detik Diri Di Daerah Daif" milikmu

Prof,
benar sekali hujahmu tanpa patah
taburan peluru dari bidikan pistol tak terkalah
coretan kata-kata beserta madah
aku bersedia dan rela kujamah

Prof,
bukan Banggul Derdap sahaja menjadi gemulah
kelak akan ada lagi yang bakal rebah
dipasung dek projek melimpah-ruah
orang melonjak untung; kita pula duduk terngadah

Prof,
aturan hidup di zaman ini sebenarnya kaku
waima kita lihat teknologinya semakin maju
namun ada jua yang tertinggal di situ
membuat akal menjadi keras membeku

Prof,
keanekaragaman kita dalam berfaham-fahaman
berpunca dari satu titik pemula rekahan
lalu ia akan membentuk sebuah lohong kegelapan
akhirnya pecah menjadi serpihan dalam kehidupan

Prof,
tekak ku meloya mendengarkan hujah
lolongan mereka hendak merubah
entah apalah agaknya yang berubah
melainkan kedai ekor dan disko pula bertambah

Prof,
tak pernah lekang dari mulut bondaku menitip pesan
"Solat jangan sekali-kali kamu tinggal-tinggalkan,"
"TiVi takkan pernah membuat kamu kekenyangan",
"Sedang dirimu nanti tak sedar telah mati kelaparan."

Prof,
aku khuatir andai ada balaisah lama sengaja diruntuh
seperti katamu kita sembahyang tak pernah bersungguh
sejadah disangkut dekat TiVi langsung tak disentuh
ah, sembahyang diabai; bagaimana doa bisa makbul dan ampuh?

Prof,
bukan silat petani sahaja telah dilupakan
silat lain masing-masing terkena penangan
muda-mudi sudah tiada berminat berlangkah kuda-kudaan
kerana seni dianggap tahyul; konon isim menjalar menjadi saka peliharaan

Prof,
andai muda-mudi Banggul Derdap hilang mengadu nasib di kota-kota
berkeliaran kulihat mereka menyerah diri di kilang-kilang
bersepah lulusan universiti menantikan pucuk bertunas muda
yang pintar pula menghamba diri di luar negeri tak pulang-pulang

Prof,
sekiranya dirimu khuatir daerahmu menjadi gemulah
aku jua terasa diriku dilanda resah gelisah
benar, benar, benar bagaimana jikalau kembali ke rahmatullah
di manakah harus kuletak kebijaksanaan bangsa dalam erti kata yang sahih dan sah!


P/s: Istimewa buat profesor Shahnon Ahmad, semoga ada yang bisa menyampaikan berita tentang puisi ini buat beliau...

Tangan yang menulis: Ampuan Awang

2 comments :

Ampuan Awang said...

... alangkah bertuahnya kalau diri dapat ketemu Pak Shahnon Ahmad :((

M I F said...

Dekatkankanlah diri kepada Penciptanya...insya Allah dekatlah kita kepada ciptaan-ciptaan Nya..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top