ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Tanah Sekangkang Di Kota Batu [Ungkap Serampang Dua Mata]



+++ Sebelum aku menampal kembali artikel [Arif Atan] ini, renungkan bait puisi "Tanah Sekangkang Di Kota Batu":-


Tanah Sekangkang Di Kota Batu

Tanah sekangkang
    di celah kota batu itu
        Mengundang seribu makna
            Jauh-jauh mata memandang
        Sejarah tersirat tak tersingkap
    Rahsia bersama bukti mahu dikuburkan
Bersemadilah luka bangsa sendirian
    Di sini; Sambil mata menatap langit
        cuba melakar mimpi suram yang tak pasti
            Sayup-sayup kedengaran jeritan
        datang dari celah kota batu
    berangkat ke tengah
lalu dimusnahkan
dek mereka yang mencintai
Kemajuan; sehingga geran di tangan
... sanggup digadaikan!
Ampuan Awang

Oleh: ARIF ATAN
(Utusan Melayu Mingguan sisipan Utusan Malaysia, 7 Jun 2010, hlm.8)

Bahayanya pembangunan tanah milik Melayu berimejkan kapitalisme melampau

Segala rasa syukur dipanjatkan kepada Allah kerana kesemua 12 sukarelawan Malaysia telah selamat dibebaskan setelah ditahan oleh tentera Israel dalam serangan “dajal” itu ke atas konvoi kemanusiaan antarabangsa yang sarat dengan hampir 10,000 tan barangan bantuan di perairan kira-kira 65 kilometer dari persisiran Genting Gaza pada 31 Mei lalu.

Seluruh dunia tidak terkecuali Malaysia terutama orang Melayu Islam marah benar dengan tindakan biadap tentera Israel itu dengan memboikot barangan yang dikaitkan dengan Zionis, mengadakan demonstrasi dan penyerahan nota bantahan atau memorandum.

Namun, lebih jauh daripada itu adakah kita faham bahawa tegarnya Israel mahu merampas Palestin termasuk Gaza adalah bertitik tolak atas faktor tanah?

Yahudi Israel hakikatnya laparkan tanah bagi meluaskan wilayah negara haramnya. Inilah yang perlu kita insafi pada ketika hidup dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Segala tindakan mahupun keputusan hari ini yang berkaitan tanah perlu ditangani berhati-hati agar kita tidak ditindas kemudian hari seperti bangsa Palestin.

Perlu diingat, sudah tidak banyak lagi tanah di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang yang masih dimiliki oleh orang Melayu. Paling ketara dan masih berbaki pastinya kita secara spontan menyebut Kampung Baru.

Kedudukan kampung yang berusia 110 tahun itu amat strategik. Justeru, amatlah tidak masuk akal jika ada pihak mendakwa kampung tersebut sukar dibangunkan sehingga “terpaksa” diberi kuota 40 peratus kepada bukan Melayu.

Namun, sebelum masing-masing galak bercakap tentang pembangunan, apakah sebenarnya “pembangunan” tanah-tanah dan kampung Melayu di kawasan bandar seluruh negara yang kita mahukan?

Ada yang menganggap apabila disebut pembangunan di kawasan tanah milik Melayu dan bumiputera Sabah/Sarawak mesti berdiri gahnya pusat niaga, kompleks pejabat, hotel lima bintang dan kondominium. Persoalannya, apakah kesan jangka panjang jika kita menerima premis takrifan pembangunan atas dasar sedemikian yang penulis labelkan berimejkan kapitalisme melampau ini?

Pertama, dari segi kelangsungan sosio-ekonomi Melayu. Umum tahu, Melayu dan Bumiputera telah lemah kuasa ekonominya apabila penjajah menjarah tanah air ini dan sekarang berlanjutan akibat tekanan monopoli ekonomi oleh kaum lain.

Pembangunan yang disendatkan dengan segala imej kapitalisme tersebut hanya akan melonggarkan lagi pegangan ekonomi Melayu/Bumiputera seterusnya terlepas berputih mata.

Janji-janji pembangunan bahawa dengan adanya pusat niaga dan kompleks beli-belah akan menawarkan peluang kerja adalah palsu semata-mata. Sebaliknya, mereka yang telah membuka bisnes di atas tanah yang sebelumnya milik Melayu telah awal-awal lagi ‘menempah’ pekerja-pekerja dari negara asing.

Buktinya, pergilah ke kompleks 'Sphere' yang baharu dibangunkan di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Di sana kita akan bertemu begitu ramai pengawal keselamatan dan penjaga parkir warga asing yang langsung tidak faham bercakap Melayu.

Jika singgah menjamu selera di restoran di situ pula kita akan didatangi oleh wanita Myanmar yang juga tidak faham berbahasa Melayu walaupun restorannya berkonsepkan ala-Bali! Status halal yang ada pada hidangan sudah tentu amat diragui. Mengapa peluang kerja tidak diutamakan terlebih dahulu kepada anak cucu generasi Kampung Kerinchi yang ramai menginap di rumah-rumah pangsa sekitar kompleks mewah tersebut?!

Kedua, dan inilah impak buruk jangka panjang yang amat bahaya ialah terhakisnya dominasi politik Melayu.

Apabila kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu tergugat maka berlaku penolakan orang Melayu secara ‘paksarela’ dan beransur-ansur keluar dari kawasan yang sudah maju dengan segala simbol dan imej kapitalisme tersebut.

Gejala ini akan menyebabkan jumlah pengundi Melayu/Bumiputera kian susut sekaligus bergelar minoriti. Malah, inilah yang telah berlaku di seluruh bandar yang dibangunkan tanpa kawalan ini. Sama halnya seperti pembangunan bandar Sibu di Sarawak di atas puing runtuhan tanah milik Melayu/Bumiputera yang secara senyap juga telah meminggirkan nama pejuang muda anak tempatan, Rosli Dhoby.

Apabila tiba pilihanraya maka kedua-dua blok parti politik akan sibuk untuk memenuhi pelbagai kehendak berorientasikan kaum sehingga menimbulkan keadaan tidak adil kepada bangsa Melayu/Bumiputera.

Kemudian tentu sekali kecenderungan calon bukan Melayu menang adalah tinggi seterusnya menguatkan lagi gegar suara golongan bukan Melayu di Parlimen.

Pada masa itu, atas dasar demokrasi yang berpegang kepada suara majoriti maka segala apa yang kita tidak pernah terfikir pun hari ini tidak mustahil akan terjadi nanti! Inilah strategi licik yang telah dipraktik oleh Lee Kuan Yew sehingga kita dapat melihat “wajah” Singapura hari ini!

Oleh itu, pemahaman kita terhadap pembangunan yang berorientasikan kapitalisme tahap melampau mesti diperbetulkan sebelum menjadi nanah kepada masa depan anak bangsa. Sifirnya mudah sahaja. Sudah tahu kawasan dan tanah itu milik Melayu maka biarlah terus kekal menjadi milik Melayu. Apalah ertinya pembangunan jika Melayu terpinggir.

Namun, jika mahu juga membuka tanah Melayu kepada bukan Melayu, lakukanlah juga perkara yang sama terhadap kampung-kampung baru Cina yang ada di merata ceruk negara. Lihat bagaimana reaksi penduduk dan pemimpin mereka!

Pada ketika kita berarak di jalan raya kerana tunjuk rasa marah kepada Israel tanpa banyak kelihatan kelibat kaum lain, pandang-pandanglah ke kiri dan kanan jalan. Siapakah yang telah menguasai sosio-ekonomi negara kita? Wajarkah kita “menang sorak kampung tergadai” kerana kasihankan orang Palestin tetapi nasib bangsa di tanah airnya sendiri dalam semua segi masih melukut di tepi gantang







"Apabila kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu tergugat maka berlaku penolakan orang Melayu secara ‘paksarela’ dan beransur-ansur keluar dari kawasan yang sudah maju dengan segala simbol dan imej kapitalisme tersebut."

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top