ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Mengabaikan Bahasa Melayu Samalah Juga Dengan Memijaknya

Abai Bahasa Melayu Watak Tertawan

Oleh ARIF ATAN

(Dimuatkan dalam Utusan Melayu Mingguan sisipan Utusan Malaysia, 14 Jun 2010, hlm. 8)

Nampaknya ada pihak yang tidak faham atau sengaja buat tidak faham dengan gagasan 1Malaysia yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri. Adakah hanya kerana mahu menonjolkan 1Malaysia maka budaya “rojak” diberi ruang luas tanpa had sempadan?

Paling menonjol apabila bahasa Melayu setiap hari “diperkosa” dengan siaran iklan Primax95 oleh Petronas dalam Buletin Utama TV3 jam 8 malam! Bertopengkan kononnya 1Malaysia maka iklan tersebut hanya menampilkan bahasa Melayu di kedudukan nombor tiga pada ketika taraf bahasa Melayu masih lagi bergelar bahasa kebangsaan di sisi Perlembagaan!

Mengapa tidak atas nama 1Malaysia hanya satu bahasa sahaja semestinya bahasa kebangsaan digunakan oleh watak-watak dalam iklan tersebut biarpun berbeza warna kulitnya? Ini tidak. Walaupun telah menerima pelbagai teguran dalam media tetapi Petronas hanya buat tidak endah sahaja.

Sombongnya Petronas pada bahasa Melayu seperti tidak sedar bahawa kedudukannya adalah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bukannya syarikat dari luar negara. Malah, syarikat dari luar pun masih menghormati adab dan norma negara ini dalam pengiklanan.

Begitu juga dengan kecenderungan sebahagian institusi pengajian tinggi tempatan yang dilihat mengabaikan penggunaan bahasa Melayu. Kuliah, seminar, syarahan perdana sehinggakan paparan notis pemberitahuan sekitar perpustakaan atau kolej kediaman pun lebih selesa menggunakan lidah Inggeris.

Sudahlah universiti swasta telah lama meminggirkan bahasa kebangsaan, universiti awam pun nampaknya juga mahu turut serta menjahamkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Ini termasuklah pengabaian bahasa Melayu sebagai ciri pengenalan jati diri negara ini. Jambatan Muhibah Rantau Panjang - Sungai Golok didapati tidak ada papan tanda bahasa Melayu. Walhal, dalam masa sama, papan tanda berbahasa Inggeris dan Thailand ada pula di tengah-tengah jambatan itu.

Jika dikaitkan dengan nama dan tujuan jambatan itu dibina pula, adakah bahasa Inggeris itu bahasa rasmi milik Malaysia hingga layak berperanan sebagai “jambatan budaya” antara rakyat negara ini dengan Thailand? Pastinya tidak!

Patutlah agaknya, orang luar seperti jiran tetangga dari Indonesia kerap memandang rendah kepada kita sehingga menggelar negara ini “Malingsia” yang berakarkan kata “maling” beerti pencuri. Walaupun gelaran itu jelas keterlaluan tetapi selagi kita gilakan bahasa asing selagi itulah gelaran tersebut amat sesuai.

Rakyat Malaysia tidak terkecuali sebahagian pemimpinnya seperti tiada maruah diri apabila “mencuri” bahasa Inggeris pada ketika bercakap sesama sendiri apatah lagi bercakap dengan orang luar walaupun orang itu mungkin tahu dan berminat hendak belajar bahasa kita.

Walhal, bahasa sendiri yang kita miliki sebagai khazanah budaya bangsa yang patut diutamakan kekok, segan dan enggan pula mahu diguna pakai.

Apalah agaknya reaksi arwah Pendeta Za’ba (1895-1973) jika beliau masih hidup dan melihat taraf penggunaan bahasa Melayu dalam segala lapangan kehidupan rakyat negara ini selepas 53 tahun merdeka?

Za’ba yang merupakan cendekiawan dan “jurutera” bahasa Melayu pastinya akan kesal dengan sikap kita pada hari ini yang cenderung mahu mencampak bahasa Melayu ke dalam tong sampah sejarah dengan alasan tidak seganding untuk proses globalisasi dan terkini 1Malaysia.

Kembali kepada sikap Petronas yang menghina bahasa Melayu setiap malam melalui iklan Primax95. Mungkinkah “orang-orang besar” di Petronas itu memiliki masalah watak tertawan ('captive mind') seperti yang pernah dilontarkan oleh Profesor Syed Hussein al-Attas (1928-2007)?

Ilmuwan yang juga perintis kepada teori rasuah dan pengarang "Mitos Peribumi Malas" itu telah menyifatkan individu yang menerima bulat-bulat segala ciri budaya dan pengaruh dari dunia Barat adalah mereka yang tertawan mindanya.

Dalam konteks ini, tentunya pendewaan terhadap bahasa Inggeris seperti yang terpapar dalam iklan Primax95, tindakan universiti dan jambatan muhibah Rantau Panjang - Sungai Golok lahir daripada sikap watak tertawan. Tertawan akal menganggap bahasa Inggeris adalah segala-galanya.

Oleh itu, jika kita tidak mahu digelar “menghidap” watak tertawan, pastikan setiap tindakan dan keputusan yang diambil tidak mengetepikan bahasa Melayu. Pendek kata, bahasa Melayu milik kita inilah yang harus diutamakan dan disebarluas bagi menawan ilmu, ekonomi dan dunia!

****
Arif menambah:

Apalah agaknya reaksi arwah Pendeta Za’ba (1895-1973) jika beliau masih hidup dan melihat taraf penggunaan bahasa Melayu dalam segala lapangan kehidupan rakyat negara ini selepas 53 tahun merdeka?

++ Apa lagi hendak aku tambah? Tidak ada! Cukuplah dengan artikel sahabatku ini saja, bacalah bagi yang masih ada sedikit sayang pada bahasa mereka [sedikit?]. Sekian.

Wassalam [...]


##AA

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top