ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Kulihat Kelibat Dia Bersama Hartanya

foto ehsan Google


Betapa bahagia dirinya
menjadi pengemis berkarisma.
Dia tidak langsung terkepung
oleh deretan masalah dunia
oleh sebarang kegilaan yang ada.
Lalu, telitilah apa yang ada
pada dirinya
sebenarnya:

'Harta'nya banyak berupa penutup-penutup botol minuman, kotak-kotak yang serpih dan pecah, ubat lampu yang sudah tak berkuasa lagi, kotak mancis yang pelbagai, ketul-ketul batu yang pelbagai bentuk, tempurung kelapa, stoking buruk, mainan kanak-kanak yang sudah robek, kasut sebelah yang tak boleh digunakan lagi, tali pinggang yang terputus, kertas yang lusuh, plastik yang berkerunyuk, topi koyak-rabak, kotak-kotak tisu yang berdaki, jam tangan plastik yang sudah tak punya jarum lagi, skru yang patah dan rongak, paku yang berkarat, lampu eletrik yang sudah pecah, pembungkus sabun, kotak yang pelbagai ukuran dan banyak lagi.


'Harta'nya dihitung satu persatu sehingga selesai dan kemudian diselerakkan semula dan dihitungkan lagi sambil disusun dengan rapi dan kemudian disepahkan semula. Begitulah kerjanya dari pagi sampai ke petang. Dia bagaikan sedang membilang jumlah 'kekayaan'nya. Sambil itu dia tersenyum dan sering pula ketawa sambil melompat terkial-kial. Orang ramai yang menunggu bas hanya melihat saja telatah pengemis itu.

Oh, alangkah bahagianya dia.
Hitungannya tak pernah berhenti
Sekalian manusia normal berkata
"Ah! Dasar peminta-minta."

Benarkah dia peminta-minta?
Seorang pengemis tidak sekali-kali
menolak sedekah yang diberi
Apatah lagi kalau jumlahnya besar
Bertambahlah girangnya dia.
Tapi aneh sekali
pengemis ini berang tiba-tiba
Pemberian ditolak kasar
Seolah sedekah itu memalukan
menjatuhkan maruahnya.

Itu pengemis lain; yang ini tidak!
Dia tidak seperti pengemis yang lain
yang sering mengganggu jalan-jalan
yang kerap memenuhi di suatu sudut
di atas jejambat itu.
yang tiada pernah kan malu
menadah tangan meminta-minta
kepada mereka yang sudi
ikhlas bersedekah tanpa ucap nista
lalu selepas pemberian itu
mereka berasa sungguh gembira
terlalu suka; tak dapat digambar
dari lakaran pada kata-kata
yang acapkali kita dengar
diluah daripada mulut
pujangga orang-orang lama

Namun kurasakan kepala
semakin kusut membadai
Bukankah negara kita ini
punya hasil bumi yang kaya
rezeki diuar-uar berada di mana-mana
Sedang pengemis yang ada kini
masih lengkap berkaki tangan!
Alangkah baiknya andai
peribadi sang pengemis
yang bangga dengan kekayaan
'harta'berupa penutup-penutup botol minuman,
kotak-kotak yang serpih dan pecah,
ubat lampu yang sudah tak berkuasa lagi,
kotak mancis yang pelbagai,
ketul-ketul batu yang pelbagai bentuk,
tempurung kelapa,
stoking buruk,
mainan kanak-kanak yang sudah robek,
kasut sebelah yang tak boleh digunakan lagi,
tali pinggang yang terputus,
kertas yang lusuh,
plastik yang berkerunyuk,
topi koyak-rabak,
kotak-kotak tisu yang berdaki,
jam tangan plastik yang sudah tak punya jarum lagi,
skru yang patah dan rongak,
paku yang berkarat,
lampu eletrik yang sudah pecah,
pembungkus sabun,
kotak yang pelbagai ukuran.

Maka sesungguhnya
aku nyatakan bahawa
peribudi pengemis ini
sungguh hebat sekali
berbanding pengemis
yang asyik berulang singgah
dari meja ke meja
dari restoran ke restoran
yang kerap meminta belas ehsan
insan yang ditemuinya
Oh, aku sedih sekali
menduduki negara merdeka
tapi semakin ramai
pengemis berjaya dilahirkan
namun tidak seperti dia
Sang pengemis hebat
yang tidak langsung
memandang wang segala
melainkan harta pencarian
hasil kutipan di jalan-jalan
yang dilaluinya setiap hari
dengan derai dekah tawa
riang dirinya gembira
Dunia yang diduduki ini
bagaikan dia yang punya!
Dan dia sedar
... ini ujian buat dirinya jua


Ditujukan istimewa kepada Prof Shahnon Ahmad. Ini terhasil dari cuplikan karyanya. Terima kasih, Prof.

Ditulis oleh orang yang tak pandai merangka: Ampuan Awang

1 comments :

M I F said...

Pengemis itu sedar bahawa dunia ini sementara sahaja...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top