ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Ip Man 2: Menaikkan Wing Chun Tapi Seni Beladiri Melayu Di mana?

Filem Ip Man 2 sekali lagi menjadi perhatian dunia terutama dari dunia seni beladiri. Ia memaparkan aksi terbaik dari kaca mata aku sebagai penonton. Filem ini merupakan lanjutan dari filem pertama iaitu Ip Man yang mengisahkan perjalanan hidup Yip Man yang dilakonkan oleh Donnie Yen dalam menempuh kesukaran pada dua zaman, pertama semasa China dicengkam Jepun semasa perang dan kedua semasa beliau berada di Hong Kong selepas perang tamat.

Menarik sangatkah filem ini? Pasti aku akan jawab, YA. Andai ditanya mengapa, aku akan jawab, “... kerana seni beladirinya.”. Dari dulu sehinggalah sekarang, seni beladiri bangsa cina diangkat oleh bangsanya sendiri dan kita maklum akannya. Namun, apabila kita renung kembali kepada mana-mana aliran seni beladiri kita langsung tidak diberikan peluang untuk berada di layar perak.

Alasannya memang banyak. Pertama, kerana filem berunsur seni beladiri kurang mendapat tempat di hati penonton dalam negeri. Kedua, pasti jawapannya datang pada kos penerbitan filem ini mahal dan kekononnya penerbit akan mengalami kerugian yang besar akibat filem yang langsung tak mampu bertahan di pawagam. Ketiga, aku akan dijadikan mangsa bidikan cercaan kerana hanya mampu bercakap tapi langsung tidak mempunyai ‘$$’ untuk menerbitkan filem ini. Sekiranya tiga perkara tadi ada dalam minda penerbit, maka filem seni beladiri khususnya silat takkan berada di layar perak sampai bila-bila akibat dari sikap penerbit yang hanya mahukan keuntungan semata-mata.

Tidak perlulah aku berutus panjang berkenaan kisah filem ini kerana penerbit tetap terus melayar perakkan filem-filem cinta asmara yang akhirnya membuatkan membuatkan anak-anak muda layu mengadap cinta luka berdarah, adaptasi filem asmara yang diterbitkan mereka. Hidangkanlah filem-filem hantu agar masyarakat lebih takut kepada hantu dan bukannya kepada Tuhan. Hilangkanlah semangat bangsa melalui filem yang lebih banyak menjatuh dari membangunkan. Alasan yang panjang akan diberikan seperti mana yang aku sebutkan tadi. Menaikkan martabat bangsa tak penting; yang penting adalah wang. Segalanya kerana wang kuasa!

Entah bilalah para penerbit kita berani turun untuk menaikkan kembali martabat silat di persada dunia? Kalau dahulu kita drama 'Keris Hitam Bersepuh Emas', 'Pendekar Kundur' dan lain-lain tapi sekarang? Dulu kita ada Dato' Rahim Razali yang bertanggungjawab menyelitkan sedikit sebanyak babak yang berunsurkan seni beladiri dari para pelakon yang benar-benar berada pada landasannya; bukannya menampilkan watak pesilat dalam filem sahaja. Bukankah kita ada pelakon yang berpengalaman seperti Eman Manan, Ruzaidi Abdul Rahman, Ebby Yus, Zambery Osman, Razak Mahat dan  banyak lagi tapi mengapa masih lagi berdalih tentang isu pelakon sedangkan pelakon yang handal bersilat terlalu ramai di luar sana.

Tahukah apakah yang aku khuatirkan? Aku khuatir sekali apabila filem dikeluarkan nanti, nasibnya sama dengan nasib filem 'Pasir Salak' yang tidak siap-siap sampai sekarang. 'Puteri Gunung Ledang' saja yang aku lihat agak berjaya kerana ia berjaya difilem dan diteaterkan yang lain hanya sekadar menempel dalam kelas drama di televisyen. Mahu diludah ke mana lagi agaknya? Kepada siapa lagi diri harus melempiaskan rungutan berkenaan isu filem yang hambar dan tak ketentuan? Tontonlah Ip Man 2, semoga minda penerbit sedikit terbuka apabila menatap aksi-aksi yang telah berjaya mengutip perolehan hasil di seluruh dunia melebihi USD 20 juta! Ikutilah jejak langkah pelakonnya, Donnie Yen, perhatikan semula detik kejayaan Tony Jaa dalam filem 'Ong Bak', sementara Iko Uwais dalam filem 'Merantau Warrior', lalu kita bandingkan dengan filem kita. Aku pasti jawapan yang mendukacitakan. Mengapa? Kalian pasti tahu jawapannya. Sekian


Wassalam [...]


+++ Pukulan buah pukul dalam cerita ini menarik sekali untuk dijadikan bekal latihan. Mungkin sahabatku, Ha Lurus mampu bercerita tentang Lian Padukan ;]




Tangan yang menulis: Ampuan Awang

5 comments :

ashrafi said...

memang sedih kalau bercerita tentang filem di negara sendiri. sudahlah terkial kial, jangankan filem beladiri (melayu), tema 'berat' (walaupun sikit) pun mudah saja dianggap mendapat rugi.

ada ku dengar sok sek peminat RAM (tahun lepas) katanya dia sedang dalam proses menskripkan naskhah TOMBIRUO. kalau benar bagai dikata kan bagus. setidak tidaknya ada juga unsur aksi/beladiri.

cemomoi said...

tu le, kita selalu malu dengan apa yang kita miliki dan berasa orang lain lebih hebat...

Ampuan Awang said...

cemomoi: benar sekali tapi kadang itu alasan tuk melepaskan diri saja ;]

ashrafi: mungkin orang kita lebih berminat menonton aksi lain dari lain agaknya, contohnya adegan orang politik di ranjang??? mungkinkah begitu????

ashrafi said...

kalau 'ranjang' tengok saja yang tajuknya Jalang itu... entah lah.. susa juga mau cakap... diorang tu pun ada 1001 alasan untuk menegakkan benang diorang.. Filem bermoral setinggi Laskar Pelangi itu pun belum tentu dapat dijejak mesejnya dalam filem 'kita'

wallahu a'lam

Ampuan Awang said...

ashrafi: filem laskar pelangi punya nilai moral yang tinggi wajar dipuji. apa lagi mau dibanding dengan cerita 'ayat-ayat cinta' yang termeletup ibarat pecah di panggung. kita masih lagi di situ, di takuk yang sama seperti dahulu. filem kita tidak dapat merentasi negara jiran, apatah lagi dunia! pasti menimbulkan tanda tanya. drama 'Nur Kasih' berjaya menarik hati penonton tapi kelasnya apa? drama atau filem? bukan kita mahu mengkritik tapi ini hakikat yang nyata. karyawan cina di hong hong sanggup berhabis duit semata-mata mahu menaikkan bangsa tapi kita? kita sibuk mahu meremangkan bulu ketiak masyarakat sebaik saja tamat filem-filem hantu yang entah apa-apa entah diterbitkan!

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top