ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

The Ring: Panggilan Di Sebelah Sana Menyahut!

Oleh: Ampuan Awang

CERITA ini masih segar dalam ingatan walaupun ia sudah lama berlalu. Ketika itu, aku bertugas di IPTA milik kerajaan persekutuan sebagai pengawal keselamatan alias 'Pak Guard'. Kerja sebagai 'Pak Guard' tidaklah mudah sepertimana desis kata-kata orang yang mengatakan 'Pak Guard' ini kuat tidur segala. Sebagai bukti, ada anggota dari kalangan kami pernah bertugas lebih dari 48 jam dan akhirnya dia jatuh sakit akibat kekurangan tidur. Tidurnya dirampas semenjak dia menjadi 'Pak Guard'. Katanya,

"Aku kerja ni hampir seminggu direct, rehat pun tak cukup. Kalau tak kerana anak bini, agaknya dah lama aku berhenti; cari kerja lain."

Tapi ini bukan pucuk pangkal cerita, tidak berkaitan pun sebenarnya dengan kenyataan asal yang ingin aku kongsikan. Ikuti ceritaku dengan teliti...

1, 2, 3 mula...

"Malam ni kau bertugas di post mana?" soal seorang teman.

"Aku di post A malam ini. Kau?"

"Aduh, sia di post C. Malam jumaat lagi ni.Minta-minta teda rogon kacau sia." balasnya kelam-kabut dengan gaya bahasa ibundanya.

"Tiada masalah bah tu, kau calling-calling saja guna walkie talkie kalau ada jumpa apa-apa yang bikin kau takut." ujarku sekadar menaikkan kembali semangatnya.

"Bah, jangan kau ilang masa aku teriak meminta tolong." penakut juga sahabat aku ni, gumamku di dalam hati.

Dari jam 8 malam membawa ke pukul 12 tengah malam, tidak berlaku apa-apa masalah. Setiap jam 'Pak Guard' akan melakukan Bit di kawasan yang dipertanggungjawabkan. Nampak seperti anggota polis pula apabila menyebut soal Bit. Keadaan 'Pak Guard' swasta cukup berbeza dari 'Pak Guard' kerajaan.

'Pak Guard' kerajaan menggunakan motosikal yang disediakan oleh pihak IPTA dan kami pula terpaksa berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. 12 jam bertugas, ini bermakna kami kena berpusing keliling IPTA 12 kali, ini bermakna sejam sekali. Bersyukurlah 'Pak Guard' IPTA yang mendapat pekerjaannya atas nama kerajaan persekutuan dan kami pula dianaktirikan. Al-maklumlah, SWASTA!

Selepas jam 12 tengah malam, lampu di sekitar IPTA dimatikan atas alasan mengurangkan penggunaan eletrik. Satu tindakan yang tidak masuk akal langsung bagi kami. Para pencuri pasti akan mengambil peluang untuk masuk ke dalam IPTA sebaik saja lampu jalan dipadamkan dan akhirnya 'Pak Guard' swasta juga yang dipersalahkan. 'Pak Guard' kerajaan goyang kaki dan terus menuding pada kami yang berstatus anak tiri ni.

~Kringg... Kringg...~ Begini agaknya bunyi nada dering sahabatku ketika itu.

"Hello, sayang di mana ni?" ucapan manja dari pemanggil yang aku rasakan mungkin teman wanitanya.

"Macam biasalah, karaja bah." jawabnya ringkas.

Hampir 15 minit berbual, tiba-tiba panggilan seolah terputus tapi sahabat aku ni terus menekapkan telinganya, menantikan suara teman wanitanya menjawab pertanyaan yang diajukan sebentar tadi. Sebelum terputus, teman wanita sempat bertanya,

"Bisuk mau pigi mana?"

Beberapa minit selepas itu, panggilan tadi disambung kembali dan mereka kembali berbual tapi kedua-dua mereka kebingungan. Tewan wanitanya bertanya,

"Siapa perempuan yang bercakap tadi?"

"Perempuan mana? Mana ada perempuan di sini, sia saturang bah sekarang." bulu romanya sudah naik.

"Yakah? Jadi siapa tadi tu...?"

"Mana sia tau. Apa dia bilang?" tanya sahabatku dan matanya asyik memerhati keadaan sekeliling yang nampak suram.

"Dia bilang tadi, mau pigi mati. hihihihiii..." teman wanitanya mengajuk suara pontianak walhal dirinya sendiri cuak ketika mendengar suara itu.

"Biar betul... Nantilah kita cerita. Biar sia lari dulu dari ini tempat." slanga tempatan terus bergema. Dia takut dan terus berlari ke post utama. Dan di sana, barulah dia bercerita dari A sampai Z. Mukanya nampak pucat. Kasihan pula sahabatku ni. Aku tenangkan dirinya. Setelah selesai menyampaikan cerita, dia mengajukan kembali padaku,

"Siapa bah tadi tu, Wang?"

Aku jawab,

"Dialah penunggu pokok tempat kau berdiri tadi. Kau menganggu dia istirahat, jadi dia masuk dan menjawab pertanyaan girlfriendmu."

Sahabatku terdiam dan terus meminta izin untuk masuk tidur sekejap bagi menghilangkan perasaan takutnya. Ini bukan pengalaman pertama kali yang dialaminya tapi ia sudah kerap kali berlaku, cuma jalan cerita saja yang berbeza mengikut versi mereka yang pernah ketemu dengan rakan ghaib di alam astral. Kawasan IPTA ni dikatakan keras tapi Alhamdulillah, aku tidak pernah pula diganggu dek jin-jin walaupun ada diantara mereka yang menampilkan diri dalam bentuk kepulan asap di dalam surau IPTA berkenaan. Aku membentak keras dan makhluk ini cukup memahami, lalu menghilang entah ke mana. Ia hilang bersama cerita yang tak pernah putus dan semakin bertambah isi kandungannya dari masa ke semasa [...]


-Glosari-
Sia - saya
Rogon - hantu
Teda - tiada
Ilang - hilang
Bisuk - esok
Karaja - kerja
Pigi - pergi

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top