ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

SEJARAH: Foto Durbar Pertama Kuala Kangsar Palsu Belaka. Tegakkan Kebenarannya!

Selama puluhan tahun gambar foto Raja-Raja Melayu yang bermesyuarat buat kali pertama di Astana Negara, Kuala Kangsar, Perak telah disalahtafsir secara bebas tanpa sebarang teguran oleh pihak yang berkenaan, terutama sekali pihak Arkib Negara Malaysia dan Muzium Negara. Apakah kesalahan yang paling menjolok mata di dalam pentafsiran masyarakat itu? Mereka mengatakan bahawa terdapat sebilangan tokoh pahlawan Pahang yang ikut serta di dalam sesi foto tersebut iaitu Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau dan Mat Lela.

Umum mengetahui bahawa Perang Bahaman telah tamat di Pahang pada tahun 1895 dengan berundurnya para pemimpin ulung perjuangan tersebut iaitu Tok Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah ke Terengganu, Kelantan dan Siam. Antara mereka, ada yang kononnya dikatakan “telah mati”, dibawa askar Siam ke Bangkok atau pun menghilang begitu sahaja tanpa khabar berita. Tiga tokoh pahlawan Pahang tersebut adalah duri dalam daging bagi pemerintah kolonial British, dan sejumlah wang ditawarkan bagi menangkap mereka, sama ada hidup atau pun mati. Marilah masyarakat sama-sama berfikir, ajakan ini terutama sekali ditujukan buat anak-anak Pahang dan para pewaris pahlawan Pahang yang disebutkan namanya itu, apakah logik Pahlawan Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau yang sudah berundur diri ke luar Pahang pada tahun 1895 tiba-tiba kembali pula mengiringi Sultan Ahmad ke Kuala Kangsar pada tahun 1897 dan seterusnya ikut bergambar bersama para pegawai penjajah yang sangat ingin melihat mereka mati di tali gantung selama ini??

Ketahuilah bahawa tokoh yang dianggap sebagai Tok Gajah di dalam gambar tersebut (duduk bersila memakai serban, memikul pedang kerajaan) sebenarnya adalah hulubalang Tuanku Muhammad Negeri Sembilan di samping tokoh yang berserban dan memikul keris panjang kerajaan yang dikatakan sebagai Tok Bahaman (A dan B, lihat gambar). Rajin-rajinlah pergi menyelidik dokumen dan gambar lama Kerajaan Negeri Sembilan di Arkib Negara, nescaya kita akan lihat kedua-dua tokoh tersebut berdiri terpacak di samping Tuanku Muhammad sambil menyandang senjata kebesaran Kerajaan Negeri Sembilan yang sama... Tokoh yang dikatakan sebagai Mat Kilau dan Mat Lela pula (C dan D, lihat gambar) sebenarnya adalah dua daripada “Tiga Kundang” iaitu penjawat Sultan Idris Perak. Kalau dilihat lain-lain gambar foto Kerajaan Negeri Perak, kita akan bertemu juga dengan wajah tokoh-tokoh tersebut di dalamnya.

Lebih mengharukan lagi apabila sesetengah pihak dengan penuh keyakinan menunjuk pula tokoh yang duduk bersila di hadapan Sultan Ahmad Pahang, memakai songkok hitam dan memangku Puan Kerajaan Pahang sebagai almarhum Orang Kaya Haji Lipis (Wan Daud bin Wan Pahang), sedangkan beliau telah kembali ke rahmatullah lapan tahun terdahulu apabila terbunuh ditembak dengan peluru emas pada penghujung Disember tahun 1889!!

Sesetengah pihak di Pahang malah lebih hebat lagi dengan menukar tarikh foto tersebut kepada 1878 pula demi untuk mengesahkan keberadaan atau kewujudan setiap tokoh pahlawan kesayangan mereka di dalamnya. Ketahuilah, bahawa tindak-tanduk yang melampau seumpama inilah yang akan menjadikan para pahlawan yang juga nenek moyang kita itu sebagai bahan senda-gurau generasi terkemudian, apalagi oleh bangsa asing yang sentiasa meremehkan perjuangan bangsa kita untuk kemerdekaan tanah air yang tercinta.

Mereka-mereka itu memang pahlawan yang patut kita cintai dan teladani, setiap anak-anak Pahang yang menghargai perjuangan para pahlawan mereka masih terasa kehangatan perjuangan mereka hingga kini, apatah lagi majoriti daripada kita ini saling bertali darah kekeluargaan dengan mereka, tetapi hendaknya tempatkanlah mereka itu di singgahsana kemuliaan yang sepatutnya berlandaskan hak-hak agama, jangan disaluti dengan ketaksuban dan dihiasi dengan bunga-bunga dongeng yang tidak tentu hujung pangkalnya!

Bahkan amat mendukacitakan sekali kerana pernah dijumpai artikel pameran yang dibuat oleh Arkib Negara sendiri telah terikut-ikut dengan penyebaran fakta yang tidak benar tersebut.

Lihatlah pula rekod di Arkib Negara sendiri yang mencatatkan mengenai kehadiran wakil-wakil Pahang sempena Durbar di Kuala Kangsar tersebut.

Minutes of the Session of The Council of Chiefs of the Federated Malay States Held at The Astana Negara, Kuala Kangsar
on the 14th, 15th, 16th and 17th Days of July 1897
Sumber - MISC, Koleksi Terbitan Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur, hlmn 2

Yang hadir seperti rekod adalah (perwakilan Pahang) :

1. Sultan Ahmad ibni Bendahara Tun Ali
2. Tengku Ali bin Sultan Ahmad
3. Engku Muda Wan Mansur bin Bendahara Tun Ali
4. Engku Bendahara Sri Maharaja, Engku Ngah bin Engku Tanjung
5. Tuan Mandak Said Ali al-Jufri
6. Imam Perang Indera Mahkota Haji Abdul Halim bin Jaafar
7. Imam Perang Indera Setia Raja Che Samat

Inilah sahaja jumlah Orang Besar-Besar Pahang yang hadir pada mesyuarat tersebut mengiringi Marhum Sultan Ahmad. Yang direkodkan tidak hadir ialah Tengku Mahmud bin Sultan Ahmad.

Oleh itu, pendapat masyhur yang menyenaraikan “kehadiran” Orang Kaya Haji Wan Daud, Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela, Mat Kelubi dan sebagainya di dalam gambar beramai-ramai ketika mesyuarat tersebut adalah TIDAK BENAR sama sekali! Sejarah tetap sejarah! Yang benar berdiri dengan sendirinya!

TUANKU MUHAMMAD SYAH dengan pembesar Negeri Sembilan tahun 1897
Sumber gambar dari, Arkib Negara.

Inilah gambar Tuanku Muhammad Syah dengan pembesar Negeri Sembilan tahun 1897.

Duduk atas kerusi dari kiri: Datuk Klana Ma’amor (Undang Sungai Ujong), Tuanku Muhammad Syah dan Dato’ Bidin (Undang Rembau).

Perhatikan pembesar/hulubalang yang duduk bersila no.2 dari kiri (inilah tokoh yang selalu disangka sebagai Dato’ Bahaman).

Perhatikan pula hulubalang yang berdiri di belakang, no.2 dari kanan (ini pula tokoh yang disangka sebagai Tok Gajah). Mereka masih menyandang senjata kebesaran Kerajaan Negeri Sembilan yang sama seperti diDURBAR Kuala Kangsar 14-17 Julai 1897. Entahlah bagaimana pula boleh tersilap cam, mungkin andangan dikaburi oleh asap-asap yang tercemar. Kasihan...
Al-Fatihah teristimewa,
Buat para pahlawan ku yang tercinta,
Penegak daulat alam Melayu Pahang,
Takkan padam puntung berapi Orang Kaya Haji,
Ke manakah larinya gagah Datuk Bahaman,
Takkan luluh martabat Maharaja Perba Jelai oleh nista dan adu domba,
Buntat embun Pahlawan Mat Kilau segar selamanya,
Betapa pun banyak tanah kubur yang engkau tinggalkan,
Biarkan pun jutaan tanda tanya yang menjadi gumpalan tak terurai,
Betapa pun banyak kejian dan fitnah yang dilunggukkan ke atas kepalamu,
Pahlawan keris lembingkah engkau,
pahlawan peluru berpandukah engkau,
pahlawan zaman batukah engkau,
biarkan saja Allah Yang Maha Kaya menilainya,
biar apa pun pendapat dan tafsiran insan segenap penjuru,
engkau sekeliannya tetap kupandang sebagai sebuah rembulan mengambang penuh,
yang pada suatu ketika pernah menerangi bumi Pahang yang tercinta,
walaupun sesetengah memandangmu dari sisi yang gelap!!
P/s: Maka akhirnya terluahlah segala perkara yang telah lama bersarang di dalam diri. Kebenaran mesti ditegakkan agar tidak dikata melakukan pembohongan di hari kemudian kelak. Diminta mana-mana pihak berwajib memandang isu ini sebagai isu besar yang akan mendatangkan kekeliruan dan menjadi masalah dalam sejarah kita. Sedikit kesilapan yang diperbuat, kesannya cukup berbekas dan meninggalkan kesan yang lama. Ingat! Sejarah itu bukti tentang peradaban manusia! Yang hak tetap hak, yang batil bakal lenyap! Malas nak ulas panjang-panjang, bacalah saja dari pangkal sampai ke hujungnya. Tak sangka sungguh, selama ini jelas yang aku tertipu dengan fakta. Dan yang terpaling teruk apabila fakta itu ada yang sudah dibukutekskan! Malangnya... Nampaknya antara faktor yang menjatuhkan bangsa Melayu berpunca dari kesilapan menulis fakta! Kasihan. Artikel ini berjaya juga terbit dalam majalah Senibeladiri hujung tahun 2009. Sekian...

Info sejarah diulang kembali ke laman ini oleh: Ampuan Awang

4 comments :

New Skool said...

tuan setahu saya, panglima2 pahang ketika itu berpihak kepada pihak yang lain...

Ampuan Awang said...

berpihak kepada pihak yang lain? maksudnya???

Teruna Alam said...

Sejarah orang Melayu telah dilacurkan dengan begitu teruk sekali. Konspirasi besar-besaran ini berjalan tanpa sesiapa yang sedar !!!
...dan pegawai yang memiliki 'tauliah tinggi' dari universiti atau pusat manusia menimba 'ilmu' membiarkannya sahaja. Mereka juga bersubahat !!!

Warisan Perba said...

Salam. Perwakilan Pahang yang hadir dalam DURBAR PERTAMA 1897 tu memang dikelirukan oleh para pendakwa yg tidak menyelidik fakta sebenar seperti yg saudara jelaskan.

Maharaja Setia Raja Haji Wan Daud bin Wan Pahang (Orang Kaya Haji) memang meninggal dunia pada tahun 1891 akibat fitnah penjajah British, dan akhirnya berjaya dibunuh di kediamannya sewaktu British ingin menjadikan tanah kepunyaan Orang Kaya Haji di PEKAN KUALA LPIS itu sebagai PUSAT PENTADBIRAN UTAMA dan akhirnya diangkat sebagai IBU NEGERI PAHANG.

Jadi logiknya, jika DURBAR PERTAMA itu jelas berlaku pada tahun 1897 - dengan sendirinya dakwaan yang menyatakan ORANG KAYA HAJI ada dalam foto itu adalah TIDAK RELEVAN sama sekali.

Terima kasih atas perhatian saudara terhadap kebenaran sejarah.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top