ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

FALSAFAH HIKMAH DAN FENOMENA HIDUP - Sebuah Terapi Rohani

Nordi Achie
Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa
Universiti Malaysia Sabah
Beg Berkunci 2073
88999 Kota Kinabalu
SABAH
nordi@ums.edu.com.my


Kehidupan sebuah persoalan falsafah: siapakah diri manusia, untuk apakah dunia ini bagi manusia; mengapakah hidup ini begini, tidak begitu; bagaimanakah mengharungi kehidupan ini; mengapakah ada duka derita, di manakah daya inspirasinya, dan banyak lagi persoalan selainnya. Manusia setua sejarahnya. Pengalaman mengajarkan manusia; namun masih banyak lagi rahsia yang tidak difahaminya, abad berabad lamanya. Manusia menjadi keliru dan kacau. Inikah ikhtiar atau di manakah nasib? Lalu, dicarikan pedoman dan ditemui panduan. Manusia mengkaji manusia. Manusia ialah kehidupannya. Kehidupan berkutubkan serba pertentangan: hidup-mati, penguasa-diperkuasai, kaya-miskin, menang-kalah, riang-nestapa dan sebagainya. Untuk menghadapi persoalan keserbaanehan hidup ini, sejarah difikir, pengalaman diukir. Yang berjaya, diteladani; yang gagal, disempadani. Yang benar dijunjungi, yang mungkar dijungkari. Justeru, apabila kita membedah isi perut permasalahan ini, terpancarlah hikmah duniawi dan falsafah manusiawi, dengan mengambil ingatan, adanya pencabar durjana: Iblis, syaitan dan dajal! Dalam diri manusia pula, terhunjam keliaran nafsu bendawi dan nafsu haiwani. Lantaran itulah, kita perlu merenung semula diri dan hidup kita supaya kita dapat memahami fenomena kehidupan yang terbentang di hadapan kita. Berawal dengan bismillah.

· Didiklah Diri

Bagaimana kita dapat memperbaiki diri sendiri? Kita harus menancapkan matlamat hidup. Di sinilah sumber timbunan tenaga. Matlamat ini bersumbertenagakan tiga sendi: positif, pujian dan ganjaran. Mengapakah perlu adanya sumber tenaga? Kerana, manusia persis mesin. Semakin digunakan, semakin cekap. Didiklah diri untuk meluahkan kepada orang lain: apa yang anda suka dan benci. Berterus-teranglah. Meluahkan perasaan menjadikan kita segar, bertenaga dan bersemangat. Ada kalanya, kita perlu diam. Diam bukanlah maknanya salah atau bacul. Berdiam sebentar ialah sebahagian daripada strategi bertindak. Inilah sikap kesatria, di samping kebijakan terpimpin, kejernihan minda dan ketenangan hati. Dengan mendidik diri, kita menjadi terdidik; terasuh menerusi acuan citra manusiawi.

· Citra Manusiawi

Kita harus membuat pilihan dan pengutamaan. Malah, pilihan yang salah dan keliru pun, lebih baik daripada tidak membuat pilihan sama sekali. Keutamaan tidak harus kaku. Keutamaan boleh berubah dan harus diubah apabila perlu. Jangan mengikat diri dengannya. Kita diberikan dua pilihan: optimis atau pesimis. Pilihan terbaik ialah optimis. Justeru, jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan besok pasti lebih baik lagi. Inilah embirio kegembiraan. Hati yang gembira ialah ubat rohani yang paling mujarab. Nikmatilah sepuas-puasnya kegembiraan sehingga ke nokhtah hidup yang terakhir.

Menyatakan kebenaran bukanlah bermakna memusuhi orang lain; bukan pula untuk memaksakan kehendak kita terhadap orang lain. Malah, ada ketikanya kita perlu melontarkan kemarahan kita agar dunia mengetahuinya! Berani meluahkannya kerana masalah hidup yang paling rumit sekalipun, dapat memberikan tenaga dalaman, dengan syarat kita menghadapinya. Begitu jugalah dengan kejujuran mengakui kekurangan diri. Ini bukanlah kelemahan, tetapi sebagai petanda, kita bersedia menghadapi kenyataan hidup sepasrahnya, demi menentang dajal duniawi: sakit jiwa, putus asa dan hipokrasi.

· Dajal Duniawi

Bagi orang yang sakit jiwa, masalah yang kecil pun dianggapnya tidak dapat diatasi lagi. Jendela usaha terkunci mati. Puncanya, tidak mengambil apa-apa keputusan sekali gus tidak mengambil tindakan – keluh dan kecewa. Akibatnya, anda terbelenggu dalam kemurungan. Di tengah-tengah kehiruk-pikukan kehidupan, kemodenan menyisakan kemurungan. Aneh bukan? Juga, tidak ada ubat bagi orang telah berputus asa, melainkan dengan memberikannya selangit harapan. Bukan tidak ada jalan keluar; hanya sahaja, kita masih belum menemuinya. Dalam keadaan yang paling sukar sekalipun, harapan masih berharga. Harapan ialah realisme, bukannya sinisme; harapan ialah hakikat, bukannya halusinasi. Harapan ialah inspirasi, bukan pula ilusi. Masih ada harapan, meskipun kesemua jalan sudah tertutup. Harapan itulah permulaan kebangkitan. Tetapi, katakan, “Tidak ada harapan!”, inilah hasutan dajal duniawi. Ada satu lagi dajal duniawi yang terlebih berbahaya, iaitu hipokrasi. Dia benar-benar tertekan, namun dia berpura-pura gembira. Seolah-olah, dia sahajalah yang tidak punyai masalah. Konon katanya, dia baik dengan semua orang! Inilah krisis hipokrasi yang disaluti ego-dungu. Semata-mata dengan niat tulus dan fikiran mulus, masih tidak memadai. Mestilah dengan tindakan telus. Matlamat tidak menghalalkan cara. Ungkapan ini benar-benar dipermusuhi golongan hipokrit. Namun, megah di mata insan nurani: budi bistari dan bijak budiman.

· Budi Bistari, Bijak Budiman

Bertindaklah persis budi bistari dan bijak budiman. Berharaplah dengan harapan. Harapan sangat penting: akarnya bijak; bajanya budi. Kerana, masih ada harapan dalam tangisan, dalam tawaan; dalam suka dalam derita. Harapan ialah aroma hidup, meskipun ketika kegelapan membuka jendelanya. Haraplah selagi bernafas. Bantulah orang lain dengan akhlak yang baik. Sibukanlah diri anda dengan pekerjaan bermanfaat yang paling anda senangi. Kesibukan memanfaatkan masa ialah samudera kreativiti. Orang yang sibuk (bukan penyibuk!) ialah seorang yang kreatif. Menjadi kreatif ialah harapan yang sangat mulia. Manusia kreatif sebilangan sahaja. Yang lain, biasa-biasa sahaja. Ini pun sebuah harapan. Harapan bukanlah kebohongan, bukan pula kehampaan dan bukan juga keanganan. Harapan ialah cahaya dalam kemuraman, obor dalam kegelapan. Harapan, akhlak dan perjuangan: kita dikirim ke sungai sukmawi yang penuh kristal.

· Kristal Sukmawi

Mulakanlah gerbang kebahagiaan sukmawi, sejak terbukanya mata mengawali pagi. Kebahagiaan bermula di kamar pagi. Kegembiraan ialah sumber kebahagiaan. Berikanlah sumbangan. Anda pasti puas. Bahagia. Nikmatilah kegembiraan ketika anda sedang menikmati pekerjaan yang anda minati. Melakukan pekerjaan yang kita minati, mendorong kita lebih bersemangat. Menjadi lebih produktif, tanpa jemu dan bosan. Di sinilah terletaknya sungai kebahagiaan, bukan pada pengakhirannya. Jangan takuti perubahan. Orang yang takutkan perubahan, sebenarnya takutkan kegagalan. Tidak ada kejayaan bagi orang yang takutkan kegagalan. Ini kenyataan hidup. Dalam perjuangan hidup, kita tertemui kemujuran. Beruntung! Namun, kemujuran tidak ada dalam kemurungan. Kemujuran tidak ada dalam anganan. Kemujuran ialah hakikat yang “hidup” dalam mantera muhasabah. Temuilah kemujuran di sana!

· Mantera Muhasabah

Belajarlah daripada kesilapan diri dan kesilapan orang lain. Berusahalah, dengan kemahuan dan kemampuan. Ada dua kelebihan: pengalaman dan pengetahuan. Mulakan, dan selesaikan. Ada tiga menu: minat mendalam, ketekunan dan kegigihan. Usaha pasti berhasil. Jadikanlah “diri”, sebagai teladan untuk diri sendiri. Nikmatilah bakat, minat dan usaha anda dengan sepuas-puasnya. Apabila kita fikirkan boleh, pasti kita boleh melakukannya. Dua aset: fikiran tenang dan bijak bertindak. Dua keseimbangan: kehidupan peribadi dan kehidupan kerjaya. Kejayaan memerlukan latihan. Lagi gigih, lagi baik. Dua senjata: mampu mengadaptasi dan mampu mengantisipasi. Di puncaknya, adalah kejayaan dengan bertanggakan pengalaman, kepercayaan (hubungan) dan keterampilan. Terimalah kelemahan dan kekurangan orang lain seadanya, tanpa mencemarkan maruah dan harga diri anda. Hari ini hari orang. Hari lain, kita pula. Janganlah mengambil kesempatan atas kelemahan dan kesilapan orang lain. Giliran kita pun akan sampai juga. Mungkin masa, tempat dan bentuknya, berbeza. Tuhan Maha Adil. Kemahaadilan-Nya terpateri dalam resepi rohani.

· Resepi Rohani

Harapilah rahmat, hindarilah laknat. Reaksi negatif yang kita bayangkan, sering kali tidak terjadi. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap satu-satu tugas, dalam satu-satu masa; kerahkan tenaga dan semarakkan semangat. Bekerjalah, dan berehatlah. Orang yang bahagia, dia berjaya. Di wajahnya, terpancar ketenangan dan kepuasan. Tetapi, belum tentu orang yang berjaya, dia bahagia. Janganlah sinis terhadap kesendirian. Kesendirian ialah ketenangan: syurga sendirian dan syurga sepian. Kata hati kita, tidak pernah membohongi kita. Bersidanglah dengan diri anda sendiri. Kita, adalah diri kita sendiri. Kitalah yang lebih mengenali diri “kita” sendiri. Dalam kesendirian itu, janganlah lepaskan peluang keemasan ini: berbual-buallah dengan diri sendiri! Ada kesalahan yang dapat dimaafkan dan dilupakan; namun ada kesalahan yang hanya dapat dimaafkan sahaja. Inilah benteng terakhir agar tidak tersengat dua kali dalam satu lubang yang sama! Di dalamnya, syaitan bersyair.

· Syair Syaitan

Berjaya dengan cara menjilat orang atasan, memijak orang bawahan dan menikam rakan sendiri, bukanlah kebahagiaan. Mereka tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada; tidak mungkin puas dengan apa yang mereka capai; tidak sama sekali puas dengan apa yang mereka buat. Inilah syair syaitan. Kegagalan ialah lubuk syaitan. Gagal berakibat lesu, letih dan longlai. Bertangguh-tangguh ialah sambal syaitan. Dua krisis jiwa: terlalu gembira, perangkap krisis; terlalu berduka, penjara krisis. Penggosipnya, syaitan. Krisis jiwa paling halus, namun kesannya paling berbahaya: keperibadian punah, hubungan sosial muram, prestasi curam dan produktiviti parah. Masih ada harapan di hadapan - yakni, manfaatkan masalah.

· Manfaatkan Masalah

Masalah tidak semestinya berakhir dengan natijah negatif. Mengapa tidak merubah masalah menjadi manfaat, atau kerugian menjadi keuntungan, atau kesempitan menjadi kelapangan? Kesulitan terletak pada masalahnya. Justeru, mengapa menyalahkan diri sendiri? Jangan biarkan masalah peribadi membebani diri kita sendiri. Ada kesilapan, perbetulkan. Ada ketegangan, kendurkan. Ada kekusutan, leraikan. Justeru, hargailah idea orang lain. Berikanlah ruang. Laksanakan. Jangan asyik memenangkan idea diri sendiri. Atau, menggunakan kuasa menutup pita pengideaan. Semakin banyak idea dilontarkan, semakin mudahlah mencungkil idea inovatif dan menyemarakkan kerja kreatif. Ada kalanya, idea gila-gila pun, berpotensi menjadi idea agung!

Semua masalah, sama ada masalah besar malah masalah maha besar sekalipun, dapat diselesaikan. Bagaimana? Nah, semudah bermain bola keranjang. Mengapa, tidak percaya? Selesaikan secara membina. Pertama, halau prejudis dan bius prasangka. Kedua, jangan mencari siapa yang salah. Carilah apa dan di mana silapnya. Ketiga, janganlah marah-marah dan menengking. Keempat, berikan peluang kepada semua orang bersuara dengan tenang, tanpa tekanan. Kelima, buat keputusan secara muafakat, perbaiki dan bersurai. Masalah kecil, janganlah diperbesarkan; masalah rumit, permudahkanlah. Dengarkan penjelasan demi penjelasan. Tidak rugi pun. Jadikan sempadan dan ambil iktibar. Selesaikan dalam semarak semangat.

· Semarakkan Semangat

Usia 20-an, untuk pencarian dan penimbaan. Usia 30-an ialah usia penetapan dan pemantapan. Usia 40-an, untuk kebangkitan dan pembaharuan. Usia 50-an, peringkat penuaian dan penilaian. Anda harus menentukan kehendak diri anda. Tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya, bukanlah bermakna kita gagal dalam kerjaya. Katakanlah, “Saya tetap melakukan yang terbaik untuk diri saya, meskipun hak saya dinistakan”. Jadilah diri anda sendiri: jujur, tenang dan berterus terang.
Dua musuh dalam selimut: jemu dan buntu. Apa penawarnya? Senyumlah. Bertenanglah. Bayangkanlah kejayaan silam. Berharaplah kejayaan masa mendatang. Bagaimana mengatasi kelesuan dan keletihan? Buatlah pekerjaan yang anda senangi. Jangan memaksa diri. Kepuasan tidak dapat dipaksa-paksa. Menyendiri memberikan kesegaran spiritual dan kejernihan minda. Bahkan, bersendirian ialah sebaik-baik teman. Pulihkanlah semangat. Jeritkan dengan sepenuh perasaan, “Semangat!” Dengan tidak semena-mena, beban pun terburai.

· Bahaya Beban dan Jangan Sampai ...!

Mengapa terbeban? Tugas berlebihan, tekanan atasan, batasan masa dan kusut ganjaran. Mengapa berasa bosan? Dicengkam kebuntuan? Ubahlah rutin. Pilihlah aktiviti kontra. Pasti seronok. Bersiar-siar dan bersembang-sembang, sesekali apabila bosan dan buntu, bukanlah membuang waktu. Asalkan, jangan sampai mencuri waktu. Tumpukan perhatian dan tenaga terhadap pekerjaan yang kita minati. Jangan sampai, kita merasakan kerja tugas yang dilakukan itu, “monyet pun boleh melakukannya”! Maknanya, anda tidak penting dan tidak dihargai lagi.

Pelajarilah dan praktikkan cara bagaimana mengendalikan kerja kita; jangan sampai, kerja kita tidak terkendalikan. Paling penting, jangan sampai kita mengatakan, “kerja ini tak memerlukan otak langsung”!

Nikmatilah apa yang ada pada kita, dan lupakanlah apa yang telah hilang daripada kita. Fikirkanlah apa yang masih dapat kita peroleh, bukannya mengejar apa yang telah tercirir daripada genggaman kita. Bersedialah menerima pukulan kekecewaan; hadapilah tusukan kegagalan. Terimalah dengan sepasrahnya. Bangkit semula, maju terus! Yang pahit ialah ubat.

Kegagalan bukanlah hukuman. Kegagalan ialah kejayaan tertunda. Kita tidak akan dapat semua yang kita mahu. Bersyukurlah. Bersyukur dengan nikmat yang sedikit, lebih baik daripada sombong dengan nikmat yang banyak. Berdoalah: “Ya Tuhan, berikanlah kepada kami kekuatan untuk mengubah segala hal yang perlu diubah dan kepasrahan untuk menerima sesuatu yang tidak dapat diubah kerana takdir-Mu”. Jika kita dayus - enggan pasrah dan enggan bangkit semula - jadilah kita mantan manusia.

· Mantan Manusia

Berdiam diri - dengan tujuan untuk menjaga kepentingan diri sendiri - persis syaitan bisu. Mantan manusia bersaudara dengan syaitan bisu! Siapakah syaitan bisu-mantan manusia? Pertama, apakah anda cuak membela rakan anda yang dizalimi? Adakah anda takut mempertahankan kebenarannya? Nyatalah, anda lebih hina daripada binatang kerana binatang pun berpegang kepada prinsip ini! Kedua, orang yang berbicara secara jujur, berbeza dengan orang yang memancing kita untuk berbicara: tangan kanannya menyalam, tangan kirinya menusuk; anak matanya semacam tenang dan jernih. Jangan terpedaya! Kerana, taring nafsunya liar lagi buas! Senyumannya perangkap, anggukannya racun. Demikianlah secebis hakikat kehidupan.

· Hakikat Hidup

Hidup ini penuh dengan cabaran. Tanpa cabaran, hidup tidak bermakna. Hakikatnya, kita tidak dapat memiliki segala-galanya sekali gus. Lantas, janganlah terfikir untuk membolot kesemuanya. Kepuasan rohani tidak dapat diisi dengan ketamakan. Semakin tamak, anda semakin rakus. Menjadi rakus, akhirnya pupus. Belajarlah dari kesalahan, jangan meratapinya. Kerana, hakikat hidup ini, meskipun ada keburukan, namun kebaikannya masih tidak terhitung. Justeru, ambillah pesanan ini: merenung keaiban diri sendiri lebih utama daripada melihat kelebihan diri sendiri. Yang pertama, menjadikan kita rendah hati. Manusia budiman. Yang kedua, menjadikan kita lupa diri. Orang yang menganggap dirinya sentiasa suci, dia egois. Orang yang menganggap dirinya pendosa, dia dayus. Manusia hina.

Manusia sejati ialah tunjang kehidupan: bertanggungjawab, tegas dan berani. Berani pencetus perubahan; agresif penaka perang. Berani menyatakan pendapat. Berani menampilkan diri. Tidak ada kejayaan tanpa usaha; tidak ada usaha tanpa derita. Tidak ada kehidupan tanpa kejayaan dan kegagalan. Kenali titian kejayaan: siapa diri anda, apa tugas anda dan apa kemahiran anda? Lakukan tugas anda dengan penuh kreativiti. Tidak rugi, kerana kreativiti menjadikan proses dan hasil kerja kita lebih menarik. Lantaran anda seorang kreatif, anda mungkin disisihkan. Ini lumrah kehidupan. Sebenarnya, itulah penghargaan sejati untuk anda. Ingin mengubah dunia, ubahlah diri sendiri. Kebenaran ialah kekuatan. Lantaran itu, perhatikan 2M: mahu dan mampu. Jika anda mahu, namun anda tidak mampu, tinggalkanlah urusan tersebut. Utamakanlah kemampuan, bukannya kemahuan. Jadilah insan biasa yang punyai inspirasi luar biasa.

· Insan Biasa, Inspirasi Luar Biasa

Katakanlah, “Saya hanyalah manusia biasa; mempunyai semangat dan usaha yang luar biasa”. Inilah keyakinan yang luar biasa nilainya, dan luar biasa pula kebenarannya. Anda bercita-cita tinggi? Tempuhilah empat cabaran: bekerja gigih, merebut peluang, berkorban dan sanggup menerima kegagalan. Bercita-cita tinggi, bermotivasi tinggi, bersasaran tinggi dan pencapaian tinggi, mestilah berada dalam lingkungan kemampuan diri. Hindarilah nafsu besar, cakap besar dan paling loya, cakap tak serupa bikin!

Sebagai manusia biasa, melakukan kesalahan ialah hak asasi kita. Pelajarilah dan perbaikilah. Jangan takut menghadapi kritikan. Yang mengkritik pun, tidaklah sempurna. Usaha terbaik dapat dilakukan di sepanjang hayat, namun prestasi terbaik, hanya muncul sekali sahaja. Yang pertama, membawa bahagia. Yang kedua, menekan jiwa (jika digilai). Janganlah menjadi tin kosong: isinya hampas; kebisingannya menyakitkan! Janganlah menjadi arnab pengecut; takut mendengar suaranya sendiri! Hanya diam terkumat-kamit, sambil tertunduk-tunduk malu. Dalam menghadapinya, masih ada danau perteduhan bagi para musafir, di dermaga dirgahayu.

· Dermaga Dirgahayu

Tiga soalan: apakah yang anda ingin capai; apakah yang anda ingin lakukan dengan baik; dan apakah yang dapat memberikan kepuasan kepada anda? Siapa yang berusaha lebih, dialah yang lebih berbahagia, bersemangat dan berhasil. Apabila anda tewas, bukanlah bermakna gagal. Anda ditewaskan untuk bangkit semula. Apabila anda gagal, kegagalan untuk ditebus kembali. Jangan takut tewas dan gagal. Jika anda takut, kejayaan tidak merestui anda. Kejayaan memusuhi ketakutan dan kegagalan. Pilihlah rakan yang paling baik cara bekerjanya. Ikuti jejaknya, kongsikan kejayaannya dan contohi hasilnya. Berbicaralah dengannya. Petua berbicara: tulus, tegas, tenang, tegak dan tegap. Jika anda kehabisan idea atau buntu, mulailah dengan soalan: apa, siapa, di mana, mengapa dan bagaimana. Janganlah persiakan hidup anda. Masa ialah emas.

· Demi Masa ...

Janganlah dipersiakan waktu. Andalah yang akan mengeluh kerananya, akibat kesempitan waktu, atau dengan nada kekononan - sibuk! Waktu ialah pelaburan. Usaha ialah jentera. Semangat ialah pembakar. Pengalaman ialah juragan. Muatan ialah hasil. Semua perubahan memerlukan waktu. Semua kejayaan tidak kekal. Semuanya sementara dan binasa. Menulislah untuk manfaat ummah. Janganlah menulis kerana nama. Perhatian ialah kesedaran dengan sepenuh pemahaman. Apabila terganggu, berehatlah seketika. Pulihkan kesegaran. Sekali-sekala, ubahkan tempat dan waktu menulis. Temuilah kehebatan kesannya. Bekerjalah untuk hidup, bukannya hidup untuk bekerja!

· Ingat!

Kita berasa bahagia apabila melakukan pekerjaan yang kita sukai. Kita berasa cerdas dan cergas. Kesihatan persis saham. Mulakanlah hari anda dengan membuat pekerjaan yang paling anda sukai. Kita hanya dapat memikirkan satu perkara dalam satu masa; dan melangsaikan satu kerja dalam satu tempoh tertentu. Fokus terhadap kejayaan. Ini sebuah kehebatan. Kejayaan menyebabkan orang tua kembali seperti muda. Fikiran dan ingatan persis otot. Makin banyak digunakan, semakin menjadi berkesan.

Orang yang tidak berani menolak lantaran bimbang menyinggung perasaan orang lain, akhirnya hidup dengan mengikut telunjuk orang lain sahaja. Bersikap tegaslah terhadap diri anda sendiri. Sekali benang berjarut, sukarlah untuk meleraikannya. Perkara yang kecil di mata kita, mungkin besar pada pandangan orang lain. Menghargainya, lebih baik daripada meremehkannya. Katakan tidak terhadap pekerjaan yang anda benci. Janganlah cuba melakukan segala-galanya secara sendirian. Tiga musuh ketat kejayaan dan santau kebahagiaan - Malas, Sambil Lewa dan Bertangguh - “Buanglah tabiat ini, sekali untuk selama-lamanya”. Biasakan yang baik, dan baikkan yang biasa.

· Nikmatilah

Berehatlah – tanpa rasa bersalah. Kita mempunyai hak ke atas waktu kita. Tiga kerehatan: berbual bicara dengan teman; berseronok bersama keluarga dan beribadah dalam keheningan malam yang sunyi. Bersantailah dengan madah ini: “Kelmarin, semalam yang pergi. Semalam, sebuah kenangan. Besok, sebuah harapan. Hari ini ialah kenyataan”. Belajarlah memberikan nasihat untuk diri sendiri. Ulangi ungkapan yang memberikan dorongan.

Bekerja ialah terapi rohani yang hebat. Dengannya, segala masalah dan tekanan akan mengalir deras seperti bermandikan peluh. Hargailah setiap minit yang anda miliki sebagai anugerah istimewa yang tidak dapat diulangi semula. Berjuanglah segigihnya seumur hidup anda; namun ingatlah, tidak ada sesiapa pun yang berjaya sepenuhnya. Manfaatkan bakat dan kemampuan diri, serta tunjukkannya kepada diri kita sendiri. Manfaatkan masa, tenaga dan fikiran kita untuk sesuatu yang berfaedah. Kita kelihatan bersemangat, segar dan tenang.

Ucapkan syabas dan tahniah untuk diri kita sendiri. Ucapan ini benar-benar tulus dan ikhlas. Tidak ada seorang pun yang mendengarnya. Jadilah diri anda sendiri! Bukanlah maksudnya mementingkan diri sendiri; tetapi menerima kelebihan dan kelemahan anda seadanya, secara jujur dan ikhlas. Titik kerohanian tertancap di menara kejujuran. Akarnya amanah, dedaunnya tanggungjawab. Kejujuran persis debunga ketenangan. Diikat dengan temali keyakinan, diukir dengan seni ketegasan dan disalut dengan sinar keikhlasan. Tidakkah anda ingin menikmatinya? Perhatikan dua kalimah berikutnya.

· Elakkan dan Lakukan

Jangan hanya pandai melemparkan kritikan. Jika tidak dapat dielakkan, lihatlah kelemahannya dengan pandangan membina. Jika tidak mampu bersemuka, tulis! Menjadi pendengar, bukanlah mudah. Persiapkan lima perkara: bahasa badan (mata, muka dan kepala), duduk santai dan pacakkan perhatian. Diam. Jangan mencelah. Raikanlah rakan anda, meskipun anda sendiri tidak bersetuju dengannya.

Mengakui kesilapan diri sendiri menyebabkan kita dihormati dan dikagumi. Tidak ada salahnya mengaku salah, dan tidak menjatuhkan maruah. Kejujuran dan ketelusan anda, membuatkan orang lain sangat terkesan. Manusia, haruslah menjadi manusia seadanya.

Lebih baik memuji pelajar yang tekun, berbanding meleteri pelajar yang malas. Pujian yang dibuat secara spontan (tidak terduga dan sekali sekala) sebenarnya lebih menyentuh perasaan. Kita tidak dapat mengelakkan kedukaan. Yang penting, bersedialah bagaimana untuk menghadapinya. Bukanlah kedukaan semata-mata, tetapi siapa? Jawabannya, musuh dalam selimut!

· Musuh Dalam Selimut

Musuh tersembunyi manusia ialah pendustaan, kecurangan dan pengkhianatan. Musuh nyatanya ialah kezaliman, keserakahan dan kebodohan. Musuhnya yang mengelirukan ialah kepura-puraan, perdayaan dan kelekaan. Kelemahan tersirat kita ialah terlalu takut dipersalahkan, terlalu takut dikritik dan terlalu takut ditolak. Terlalu itu dan terlalu ini, justeru apa yang dapat kita sumbangkan? Mengapakah kita terlalu merisaui kekurangan kita? Bukankah semua manusia pun ada kekurangannya? Meluahkan perasaan dengan seseorang yang tidak memberikan apa-apa respons, samalah bercakap dengan mayat hidup. Jika anda tidak jujur terhadap diri sendiri, bagaimana anda dapat berlaku jujur terhadap orang lain. Janganlah cepat dan mudah menjatuhkan hukuman. Kerananya, anda telah menutup sumur kebenaran dan menurap cahaya keadilan.

Fenomena hidup bukanlah berat. Falsafah hikmah bukanlah beban. Kedua-duanya ada dalam hidup kita, dan ada dalam diri kita. Untuk persoalan ini, ada tersirat di dalamnya falsafah hikmah dalam fenomena kerohanian Islam. Di mana kutemui Tuhan? Dalam diri! Dianggap hulul. Di mana kurasakan cinta abadi? Bersatu dengan Tuhan! Disangka ittihad. Di mana kudambai kebenaran? Dalam agama! Dituduh tahyul. Awal agama, mengenal Tuhan. Benar, kerana agama-Nya dari Tuhanmu. Akulah Tuhanmu, maka sembahlah Aku. Carilah.

Semoga berjaya!


** Artikel ini belum lagi dikeluarkan atau diterbitkan di mana-mana kolum majalah. Penulis artikel merupakan salah seorang tenaga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah. Beliau adalah kenalan dan sahabat saya yang mempunyai pemikiran yang cukup matang dalam setiap penulisannya. Inilah antara sebab saya create satu blog dan artikel beliau saya pilih sebagai permulaan sebelum terbitnya artikel yang lain. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan sentiasa muhasabah diri kita sendiri dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh rintangan mendatang. Semoga Allah merahmati kita di dunia dan akhirat kelak. Amin........

Diulang kembali istimewa dalam laman percubaan 'Puisi Kabur' oleh:
                                                                                                            

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top