ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Benteng Artifisial Puisi Melayu [Cuplikan Terlupa Dari Mana]

Oleh: SAIFUL NUJAIMI ABDUL RAHMAN

(Bahagian Pertama)
TANPA prasangka, puisi merupakan karya seni yang berupaya berdiri teguh secara sendirian tanpa perlu berkhidmat untuk sesiapa. Puisi tidak wajar dizahirkan untuk tujuan lain selain untuk berpuisi. Ia tidak harus dinilai oleh prinsip retorik moral, mahupun disukat dengan berjana politik ataupun sebarang piawaian yang bukan estetik.

Pun begitu, tidak bermakna puisi itu anarkis kerana sebagai karya seni tulen, ia mengandungi unsur-unsur pendidikan yang mempengaruhi pembentukan masyarakat dan budaya masa hadapan.

Penulis dan ahli falsafah Jerman seperti Kant, Goethe dan Schiller, misalnya, bersependapat bahawa karya seni haruslah mempunyai autonomi atau hak sendiri ke atas hasil ciptaan berbentuk seni. Idea seni untuk seni begitu jelas dalam perbincangan Victor Hugo dalam bahagian prakata Cromwell (1827) dan Hernani (1830). Pun begitu, beliau sama sekali tidak meminggirkan persoalan moral meskipun tidak semestinya menjadi asas untuk diberikan fokus puitik.

Puisi sebetulnya merupakan santapan jiwa dan halwa raga kepada sesebuah masyarakat yang bertamadun. Legasi puisi dalam membina jati diri bangsa-bangsa teragung telah sekian lama dipaterikan dalam lembaran-lembaran sejarah dunia.

Ironisnya, peranan puisi di negara kita pada dekad-dekad ini dianggap tidak lagi relevan oleh sesetengah pihak. Apatah lagi bidang sastera sudah lama dipinggirkan demi mengejar janji-janji alaf. Generasi hari ini tidak lagi memandang aliran sastera, apatah lagi bidang puisi, sebagai salah satu tonggak moral dan teras jati diri sebuah masa depan yang bermaruah.

Tegasnya, aliran sastera hari ini tidak lagi berupaya menjadi gerbang impian yang menjanjikan harta dan laba untuk kesejahteraan masa hadapan bagi generasi muda. Ditambah pula dengan sikap kebanyakan orang kita yang gemar mengejar sesuatu yang baru dan mencicirkan apa yang dikendong sekian lama. Walhal, bukan itu gagasan dan aspirasi negara.

Anehnya, dalam seluruh kegawatan masa hadapan buana puisi negara yang tidak ketentuan ini, sesetengah penggiat puisi kita masih leka berpolemik sesama sendiri. Sesetengahnya lebih gemar membentuk kelas tertentu dalam menilai mutu seni sesebuah karya puisi. Tidak kurang pula yang menyokong usaha pengelasan sebegini demi menjayakan agenda peribadi untuk mengangkat hasil karya sendiri.

Jangan terkejut jika dikatakan bahawa puisi hari ini terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Ia bukanlah fenomena globalisasi mahupun glokalisasi - bahkan ekoran daripada sikap kita sendiri yang kurang ambil peduli.

Secara umumnya, masyarakat sudah arif dengan mutu dan nilai seni mahakarya-mahakarya agung puisi-puisi garapan para Sasterawan Negara. Meskipun tidak akrab, tetapi kebanyakan daripada kita sudah biasa. Justeru, mercu pencapaian mereka tidak perlu dikupas bicara dan diragusangsikan lagi. Atas akauntabiliti seni, mereka berkarya untuk masyarakatnya.

Ironisnya, dalam kita mengiktiraf mercu-mercu yang terbina itu, kita diajak pula menolak jerih usaha para pemuisi lain yang juga membina mercu-mercu karya mereka dengan hala cara yang sedikit berbeza. Mereka memilih untuk menzahirkan makna karya secara terang-terangan.

Puisi yang mudah difahami sebegini dengan pantas dilabelkan oleh para sarjana sastera sebagai prosa puitis atau puisi prosaik yang rendah mutu seni ciptaannya. Manakala bagi mereka yang mengambil pendekatan untuk keluar daripada klise dan retorik puisi dengan tidak menzahirkan makna karya mereka pula akan dilabelkan sebagai `puisi atau sajak kabur'. Kedua-dua kategori ini dilabelkan berada pada kelas yang sama oleh sekelompok penilai kesusasteraan puisi Melayu.

Buana puisi Melayu sudah sekian lama berpolemik antara seni untuk seni atau seni untuk masyarakat. Mutu dan nilai seni yang dipiawaikan kepada kedua-dua kelas ini tidak perlulah dinyatakan lagi. Sudah terang lagi bersuluh.

Justeru, tidak hairanlah jika masa hadapan puisi negara dan para penggiatnya tidak ketentuan tuju dan kekaburan halanya. Masyarakat hari ini umumnya sudah tidak ambil peduli lagi perihal hidup mati dunia puisi tanah air. Mereka hanya mengenal puisi sekadar penyendal acara dan temasya. Hanya sesekali sahaja menjadi gah itu pun sesudah bencana dan trauma mengoyakkan peta-peta negara di pentas Sunda.

Puisi secara definisi mudahnya merupakan satu entiti bahasa perasaan yang terungkap pada darjat bahasa yang paling tinggi. Di dalamnya tergumpal limpahan perasaan yang diungkapkan melalui bait-bait kata yang mulus. Puisi yang lahir dari jiwa dan disuburkan oleh perasaan akan mengalir ke dalam jiwa masyarakatnya bagai air jernih di kali-kali sumur.

Seperti takrifan William Wordsworth: ``Puisi bersumber daripada limpahan perasaan yang kuat secara tiba-tiba. Bersamanya ada rentak, ada kata, dan ada perasaan yang dihubungkaitkan melalui bahasa yang dalam lagi pukal.''

Sebetulnya, puisi harus ditentukan oleh sifat-sifat dan bentuk yang berautonomi. Puisi yang memerlukan masa untuk difahami lazimnya akan bertahan lebih lama kerana bersandarkan nilai perasaan dan intelek penciptanya. Lambat-laun ia akan berupaya menjadi puisi yang bermutu dan berkesan.

Percaya dan yakinlah, betapa sekalipun ringkas sesebuah puisi itu, ia tetap memiliki roh tersendiri. Bersamanya terpancar aura minda dan arca keintelektualan penciptanya yang memacu bahasa sebagai medium perantaraan antara karya dengan masyarakatnya.

Justeru, sekalipun bahasa yang digunakan oleh pemuisi agak sukar difahami, kita tidak harus terlalu mudah meletakkan puisinya sebagai tidak jelas apatah lagi sebagai karya yang kabur. Bukankah daya sensitiviti setiap individu itu berbeza?

Inilah sebahagian tragedi yang pernah menimpa sebahagian daripada para pemuisi yang berani berkarya melampaui batas klise dan retorik puisi konvensional. Antara mereka yang pernah dilabelkan karya mereka sebagai kabur ialah A.S. Amin, Noor S.I dan M. Ghazali (sekadar menyebut beberapa nama).

Mereka pernah diasingkan sebagai golongan yang tidak diberi pengiktirafan dalam konteks seni karya untuk masyarakat. Karya-karya mereka pantas digolongkan kepada sajak kabur dengan tafsiran yang tidak memihak kepada gaya ciptaan seperti itu dalam dunia puisi Melayu.

Pokok pangkalnya, puisi mana yang tidak kabur? Bila sahaja pemuisi menggunakan metafora dalam karya-karyanya, dengan sendirinya ia dikaburkan. Bahkan, jika dirujuk kepada istilah linguistik, sebarang ujaran yang memungkinkan dua tafsiran maksud sahaja, ia sudah dapat dikatakan ambiguous atau kabur.

Sebetulnya, mudah atau sukarnya sesebuah puisi difahami masyarakat tidak sesekali wajar menjadi kayu ukur kepada mutu dan nilai seninya. Bukanlah ia sebuah puisi jika tidak menerapkan elemen-elemen simbol, imejan dan yang seumpamanya sebagai metafora.

Kalau di benua Eropah, misalnya, puisi-puisi yang kabur seperti The Television oleh Anne Stevenson, misalnya, telah diiktiraf sebagai sebuah puisi contoh yang cemerlang. Dengan bahasa yang luwes, dia berpuisi:

"Hug me, mother of noise,

Find me a hiding place,

I am afraid of my voice,

I do not like my face."

Ajaibnya, para sarjana kesusasteraan mereka sekali-kali tidak melihat kekaburan sebagai kecapekan dalam berkarya. Sebaliknya mereka menyifatkannya sebagai cabaran bagi menguji tahap kebestarian mereka dalam memahami kamus makna puisi dan gedung minda penciptanya. Aduhai, berbezanya kita!

Tanyalah kepada pemuisi mana sekalipun, sesungguhnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk berkarya. Puisi pada konteks pra pengkaryaan yang paling mudah bermula dari komunikasi intrapersonal (dalaman) seorang pemuisi yang kemudiannya digarap dan dipersembahkan kepada masyarakatnya melalui saluran interpersonal.


Diulang kembali oleh: Ampuan Awang

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top