ini bukan facebook

Jiwa Online
Pemilik Blog: Ampuan Awang  Berkhidmat dalam: Kerajaan Malaysia (Tukang Kebun). Mana tinggal? Di Kepala Batu, Antartika Edit Profile
  Post To:
anyone or anywhere  

Artikel 153 – menyingkap fakta-fakta sejarah (bahagian 1)

Oleh: Art Harun

17 MAC — Di dalam rencana saya, Visiting the Malay “Rights”, (versi Bahasa Malaysianya) saya telah mengupas peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam artikel 153, Perlembagaan Persekutuan. Saya telah nyatakan bahawa mengikut peruntukan artikel 153, orang-orang Melayu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa “hak” istimewa.

Apa yang wujud hanyalah “kedudukan” istimewa orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Secara amnya, kedudukan istimewa itu tidak memberikan apa-apa hak yang diiktiraf undang-undang kepada orang-orang Melayu.

Khususnya, apa yang terdapat di dalam artikel 153 tersebut ialah kuasa yang diberikan kepada Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memastikan tempat-tempat di pusat pengajian tinggi dan perkhidmatan awam direzabkan untuk orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak seperti mana ataupun setakat mana yang Baginda dapati munasabah.

Tambahan kepada itu, Baginda juga diberi kuasa untuk memastikan satu kuota untuk orang-orang Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak di dalam pemberian biasiswa ataupun apa-apa permit atau lesen yang diperlukan di dalam apa-apa perniagaan. Kuasa ini juga dilaksanakan oleh Baginda mengikut apa yang difikirkan munasabah oleh Baginda.

Beberapa perkara asas perlu diteliti dan diingati mengenai peruntukan di bawah artikel 153 tersebut, iaitu:

ianya tidak memberikan apa-apa hak kepada orang-orang Melayu ataupun kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Misalannya, artikel 153 tidak menyatakan bahawa orang-orang Melayu berhak kepada 30% ataupun 50% biasiswa-biasiswa yang diberikan oleh kerajaan setiap tahun;

keistimewaan yang diberikan bukan sahaja kepada orang-orang Melayu tetapi juga kepada kaum pribumi Sabah dan Sarawak;

kuasa yang diberikan adalah kepada Baginda Yang di Pertuan Agong;

di dalam melaksanakan kuasa tersebut, Baginda hendaklah menentukan apa yang munasabah. Itu bermakna kuasa tersebut tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Suntikan elemen “munasabah” di dalam artikel 153 itu sudah tentunya membawa unsur-unsur dinamis dari segi perlaksanaan kuasa yang ada di dalam artikel tersebut. Ini adalah kerana apa yang munasabah pada tahun 1969, umpamanya, mungkin tidak lagi munasabah pada tahun 2010 dan sebagainya.

Satu titik permulaan bagi menyelesaikan kemelut rasa tidak puas hati di semua pihak (samada pihak Melayu ataupun yang bukan Melayu) mengenai artikel 153 ini saya rasa ialah satu perbincangan oleh semua pihak secara rasional untuk menentukan apakah yang boleh dianggap sebagai “munasabah” pada ketika ini.

Selepas itu saya rasa satu perancangan teliti dapat dibuat untuk melaksanakan apa yang termaktub di dalam artikel 153 dengan memasukkan apa-apa formula bagi menjamin unsur “kemunasabahan” tersebut di masa akan datang.

Dengan cara tersebut, tidak perlulah kita semua terpekik terlolong, menghunus keris dan membuka tapak empat untuk bersilat di sana-sini setiap kali keraguan timbul mengenai imbangan ekonomi yang tidak sempurna di antara kaum di negara kita.

Negara kita ini penuh dengan cerdik-pandai dan para ekonomis yang handal-handal belaka. Dr Jomo Sundram umpamanya, pernah menjadi penasihat ekonomi kepada Bangsa-bangsa Bersatu. Malah kita telah ada angkasawan sendiri. Kapal selam pun kita telah miliki. Mengapa kita tidak gunakan sahaja kepandaian dan kepakaran yang kita ada untuk mencari penyelesaian?

Sejak kebelakangan ini, isu artikel 153 telah banyak dipersoalkan, malah diputar-belitkan oleh mereka yang seolah-olah tidak tahu menahu mengenai peruntukan artikel 153 ini. Retorika yang saban hari ditayangkan oleh media massa adalah hambar dari segi ilmiah mahupun kebenaran. Malah bau politik murahan dan parokial yang datang dari retorika tersebut terlampau kuat dan hampir memualkan.

Salah satu kenyataan yang selalu digembar-gemburkan ialah bahawa artikel 153 ini tidak boleh dipinda. Pada pendapat saya ini adalah amat mengelirukan. Malah, kenyataan ini menunjukkan kejahilan kita mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, mengikut artikel 159 Perlembagaan Persekutuan, artikel 153 sememangnya boleh dipinda dengan syarat bahawa pindaan itu disokong oleh dua pertiga dari ahli Dewan Parlimen dan Dewan Negara pada bacaan kedua dan ketiga. Sekiranya sokongan tersebut diperolehi, pindaan itu hanya akan berkuatkuasa selepas ianya disetujui oleh Majlis Raja-raja.

Jadi, sekiranya ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa artikel 153 tidak boleh dipinda, maka saya ingin sangat melihat bukti yang sebaliknya.

Kita orang-orang Malaysia sepatutnya lebih peka dengan usaha menimba pengetahuan kerana dengan pengetahuan sahajalah kita akan dapati kebenaran. Jangan kita telan bulat-bulat apa-apa yang diperkatakan orang. Dalam hal artikel 153 ini, sebenarnya banyak fakta yang boleh kita dapati daripada himpunan sejarah kita.

Mari kita melawat sejenak sejarah kita mengenai artikel 153 ini.

Adalah diketahui umum bahawa satu suruhanjaya telah diwujudkan untuk menggubal perlembagaan kita. Ianya dikenali sebagai Suruhanjaya Reid (bersempena dengan nama ketua suruhanjaya tersebut, iaitu seorang hakim Inggeris yang terkenal, Lod Reid).

Salah satu tugasan yang diberikan kepada Suruhanjaya Reid semasa menggubal Perlembagaan Persekutuan ialah untuk memastikan kedudukan orang-orang Melayu dipelihara. Di dalam repotnya dinyatakan (di dalam bahasa asal):

“Our terms of reference require that provision should be made in the Constitution for the ‘safeguarding of the special position of the Malays and the legitimate interests of other Communities’.”

Namun demikian, suruhanjaya tersebut mendapati bahawa adalah sukar untuk memberikan keistimewaan khas kepada mana-mana kaum secara kekal kerana keistimewaan khas yang sebegitu akan bertentangan dengan prinsip persamaan di mata undang-undang. Suruhanjaya Reid melaporkan:

“We found it difficult, therefore, to reconcile the terms of reference if the protection of the special position of the Malays signified the granting of special privileges, permanently, to one community only and not to the others.”

Malah, pihak Parti Perikatan, yang diketuai Tunku Abdul Rahman juga mahukan Malaya yang merdeka memberikan hak, keistimewaan dan peluang yang sama rata kepada semua rakyatnya dengan tidak mengambil kira kaum ataupun ugama. Tambahan pula, Majlis Raja-raja pula berharap agar konsep komunalisma (perkauman) dikeluarkan daripada ruang politik dan ekonomi kita di suatu hari kelak. Lapur Suruhanjaya Reid mengenai perkara ini:

“The difficulty of giving one community a permanent advantage over the others was realised by the Alliance Party, representatives of which, led by the Chief Minister, submitted that in an independent Malaya all nationals should be accorded equal rights, privileges and opportunities and there must not be discrimination on grounds of race and creed...’ The same view was expressed by their Highnesses in their memorandum, in which they said that they ‘look forward to a time not too remote when it will become possible to eliminate Communalism as a force in the political and economic life of the country’.”

Begitulah niat baik dan harapan nenek moyang kita yang sama-sama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Perlembagaan Persekutuan pula digubal dengan mengambil kira niat dan harapan tersebut.

Namun Suruhanjaya Reid mempunyai satu lagi masalah. Apakah kedudukan istimewa orang-orang Melayu yang hendak dipelihara itu? Di manakah terdapatnya kedudukan istimewa itu? Apakah garis panduan yang boleh mereka pakai untuk menentu dan menetapkan kedudukan istimewa itu?

Pencarian mereka berakhir apabila mereka dapati bahawa orang-orang Melayu sememangnya mempunyai kedudukan istimewa yang dipelihara sejak mula orang-orang Inggeris datang menjajah Tanah Melayu. Kedudukan istimewa itu sememangnya telah diakui oleh pihak Inggeris di dalam perjanjian-perjanjian asal dengan Raja-raja Melayu. Malah, kedudukan istimewa itu telahpun diberikan di dalam klausa 19 (1) (d), Perjanjian Persekutuan Malaya 1948. Lapuran mengenai perkara ini adalah seperti berikut:

“When we came to determine what is ‘the special position of the Malays’ we found that as a result of the original treaties with the Malay States, reaffirmed from time to time, the special position of the Malays has always been recognised. This recognition was continued by the provisions of cl 19(1)(d) of the Federation Agreement, 1948, which made the High Commissioner responsible for safeguarding the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities.”

Mereka dapati orang-orang Melayu telah sentiasa mempunyai kedudukan istimewa di dalam 4 perkara:

tanah rezab,

kuota di dalam perkhidmatan awam,

kuota permit dan lesen berniaga, dan

kuota biasiswa dan pendidikan.

Semasa membuat lawatan ke Tanah Melayu dan mendengar pendapat-pendapat belbagai pihak sebelum menggubal perlembagaan kita, Suruhanjaya Reid mendapati bahawa tiada sebarang bantahan dari mana-mana pihak sekiranya kedudukan istimewa tersebut diteruskan seketika walaupun terdapat pihak yang membantah sekiranya ianya diteruskan untuk satu jangkamasa yang lama.

Setelah mengkaji kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan fakta bahawa orang-orang Melayu pada masa itu jauh ketinggalan di belakang kaum-kaum lain dari segi pencapaian ekonomi mahupun pencapaian akademik, maka Suruhanjaya Reid pun memutuskan untuk mengekalkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang akan mereka gubal.

Itulah sebenarnya latarbelakang dan rasional kepada artikel 153 sepertimana yang ada pada masa sekarang. Persoalannya, adakah benar bahawa peruntukan di dalam artikel 153 itu diniatkan untuk menjadi kekal sehingga hari kiamat?

Apakah yang diperkatakan di Parlimen United Kingdom mengenainya? Apakah yang diharapkan oleh Bapa Kemerdekaan kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman?

Di bahagian 2, kita akan kupaskan perkara-perkara itu dengan lebih lanjut.

* There is an English version of this article, and it can also be viewed on my blog.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.



Diulang tayang dan disalin kembali ke laman ini oleh: Ampuan Awang
Mari kita sama-sama berfikir sejenak; apa sudah jadi di tempat kita berdiri ketika ini [?]. Apakah minda bangsa Melayu itu semakin sempit dan tertekan dengan tujahan fakta yang kelam kabut oleh mereka yang pintar memutarkannya [?]. Baca dan teruskan bacaan anda...

** Sila lawati laman saudara Art Harun di The Malaysian Insider

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
      faceblog © 2013 · re-designed by J. KingRaja           About · Advertising · Create a Page · Developers · Careers · Privacy · Terms · Faceblog Creator · Back to Top